By: Media and Communication Corporate Unit
BANDAR BAHARU, November 17, 2024 – Majlis Peluncuran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah telah dirasmikan secara bersama oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri dan YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia pada Ahad.

Program ini adalah anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu pendidikan pencegahan dadah serta kempen kesedaran berterusan terhadap bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan bagi meningkatkan daya tahan diri (resilien) agar dapat mencegah daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan.
Program itu adalah untuk menyemarak dan memobilisasi semua warga sekolah sama ada pendidik, pekerja dan murid agar lebih cakna terhadap masalah penyalahgunaan dadah dan bahan serta menyegarkan kembali program dan aktiviti antidadah yang sedia ada di peringkat sekolah dan institusi pendidikan.
Antara acara yang dilaksanakan ialah pertandingan mewarna, pidato, kuiz AADK dan Pocket Talk AADK.

KDN dan KPM komited untuk memperkasa pendidikan pencegahan dadah di institusi pendidikan khususnya di sekolah dengan mewujudkan Kelab Antidadah di sekolah.
Pada masa sama, AADK turut perkenal SKUAD Junior yang berperanan membentuk satu pasukan sukarelawan dalam kalangan murid yang berfungsi menyebarkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan kepada warga sekolah khususnya dalam kalangan murid sekolah.
Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok.









