Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat
KAJANG, 24 Oktober 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan Op Cegah Khas selama 3 hari melibatkan seramai 562 orang pegawai dan anggota AADK yang digerakkan oleh pejabat-pejabat AADK Daerah di seluruh negara dan lokasi-lokasi tumpuan termasuklah di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah.

Seramai 1,205 orang telah ditahan dalam Operasi Cegah Khas ini. Daripada jumlah itu, seramai 1,043 orang telah menjalani ujian saringan awal manakala 162 orang tidak menjalani ujian saringan kerana telah disahkan positif dadah berdasar keputusan makmal yang telah diperolehi lebih awal sebelum ini.
Objektif utama pelaksanaan Op Cegah Khas ini adalah sebagai langkah proaktif AADK untuk mengesan, menahan dan seterusnya memastikan mereka yang terlibat dengan penagihan dadah dapat menjalani rawatan dan pemulihan yang ditawarkan oleh AADK sama ada dalam komuniti atau dalam institusi selari dengan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang diluluskan baru-baru ini.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memutuskan rangkaian bekalan dan permintaan (supply-demand) terhadap bahan terlarang itu serta memusnahkan sarang-sarang penagihan dadah di kawasan-kawasan sasaran terutamanya di 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK, YBhg. Dato’ Ruslin Jusoh turut hadir ke AADK Daerah Hulu Langat, Selangor bagi melihat sendiri proses yang dilaksanakan oleh AADK ketika membuat penahanan terhadap mereka yang terlibat penagihan atau penyalah guna dadah dan bahan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa; Pengarah Integriti AADK, Zulfikri Abd Manaf dan Pengarah AADK Negeri Selangor, Nazir Mohamed.








