Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)
KUALA LUMPUR, 26 Jun 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menganjurkan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan (SSPDK) Tahun 2024 dan Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada Rabu.
Program yang bertemakan ‘Perkasa Sinergi, Perkukuh Solidariti’ itu untuk memartabatkan jaringan dan kerjasama antara semua pihak baik kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemegang taruh dan komuniti untuk meneroka perkara baharu yang boleh menambah baik perkhidmatan yang disediakan selain untuk berganding bahu dan bersama-sama dalam membanteras gelaja penagihan dadah.
Program yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail itu telah bermula sejak awal pagi sehingga petang.
Seramai 1,400 peserta yang hadir menyertai simposium itu yang terdiri daripada kalangan sektor awam, swasta, Badan Bukan Kerajaan, pelajar dan sebagainya.
Pada masa sama, Datuk Seri Saifudin Nasution turut melancarkan Portal i-Cari AADK yang merupakan platform terkini dalam membuat aduan penyalahgunaan dadah.
Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Ruji Ubi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok.






