Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat
KOTA TINGGI, 1 September 2024 – Seramai 38 klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Tinggi berjaya menamatkan sesi Latihan Kursus Modular Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) peringkat sijil menerusi dua kursus iaitu kimpalan dan pastri bagi tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedeli, YB Tuan Muszaide Makmor berkata, pelaksanaan latihan itu bukan sahaja untuk mempersiapkan para klien dengan kemahiran pekerjaan yang lebih baik, tetapi juga sebagai satu cara terapi kepulihan dan memperkuatkan diri daripada segi mental dan emosi.
Katanya, menerusi latihan itu juga, ia adalah bukti bahawa setiap individu mempunyai peluang kedua untuk memperbaiki diri dan mengubah masa depan.
“Kursus modular ini adalah platform penting yang menyediakan kemahiran yang relevan dan berguna bagi saudara untuk membina kehidupan yang lebih baik dan bermakna.
“Peranan PUSPEN dalam membimbing para klien untuk kembali ke pangkuan masyarakat tidak dapat dinafikan. Namun, proses pemulihan ini tidak akan lengkap tanpa sokongan daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.
“Program Family Association yang kita adakan hari ini adalah satu inisiatif yang sangat penting dalam mengeratkan hubungan antara klien PUSPEN Kota Tinggi dan keluarga mereka yang menjadi tonggak utama dalam kehidupan kita sebagai satu elemen yang paling penting dalam proses pemulihan dan proses kekal pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Modular IKBN dan Program Family Association PUSPEN Kota Tinggi 2024 bagi mewakili Ahli Parlimen Kota Tinggi, YB Datuk Seri Khaled Nordin pada Ahad.
Dalam pada itu, YB Tuan Muszaide mengingatkan para klien agar menghargai sokongan dan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga.
“Jadikanlah mereka sebagai sumber inspirasi untuk terus berusaha menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat. Ingatlah bahawa pemulihan bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan orang yang kita sayangi.
“Kepada para keluarga, saya faham bahawa proses ini bukanlah mudah, namun percayalah bahawa sokongan moral dan emosi daripada anda semua adalah sumber kekuatan yang amat berharga bagi mereka,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah PUSPEN Kota Tinggi, Faizah Hayati Haron dan Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKBN, Mohaizad Mohamad Daud.






