NGO, Pemimpin Setempat, Masyarakat Ada Peranan Tangani Kes Penagihan Dadah

Oleh: Ct Ashlida Razali dan Nabil Aziz

KLUANG: Kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat dan masyarakat penting bagi mengurangkan kadar kes penagihan dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana, kumpulan tersebut turut mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan kawasan kejiranan masing-masing dapat diatasi dengan isu membabitkan sosial khususnya penagihan dan penyalahgunaan dadah serta bahan.

Beliau berkata, sokongan tersebut juga diperlukan bagi merealisasikan sasaran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk mengurangkan kes dadah kepada 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2025.

“Kami berharap kerjasama daripada pelbagai pihak dapat dilaksanakan kerana tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada AADK.

“Kami yakin dapat mengurangkan kes penagihan dan penyalahgunaan dadah kerana terdapat contoh individu yang berjaya pulih apabila mendapat sokongan komuniti yang benar-benar komited,“ katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program AADK Santuni Komuniti di Kompleks Sukan Kampung Melayu, di sini.

YB Datuk Seri Dr, Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa program seperti ini akan diperluaskan ke lebih banyak daerah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha mengurangkan kes penagihan dadah di seluruh negara.

“Program itu diadakan bertujuan menyebarluas perkhidmatan AADK secara lebih dekat kepada komuniti dalam membantu komuniti bebas dari dadah khasnya.

“Selain itu, melalui program itu juga, komuniti setempat diharap dapat memberi sokongan penuh kepada anak-anak atau ahli keluarga yang terlibat dalam penagihan atau penyalah guna dadah dan bahan agar terus kekal pulih serta bergiat aktif dalam komuniti,” ujarnya.

Antara pengisian program berkenaan termasuk Omnipresence bersama Unit Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kluang, sesi Pocket Talk bertajuk Peranan Komuniti Dalam Kepulihan Klien dan ceramah bertajuk Madani Untuk Rakyat daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

AADK turut membuka pameran pencegahan dadah dan bahan melalui reruai dan bas pameran serta perkhidmatan rawatan dan pemulihan bergerak AADK (MRT AADK) kepada orang ramai yang hadir bagi menyampaikan maklumat berkaitan AADK termasuk SKUAD Antidadah.

Dalam program sama, AADK turut mengadakan jualan produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA) hasil usaha klien daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Tinggi dan PUSPEN Muar.

Terdahulu, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar turut meluangkan masa bersama klien dalam komuniti AADK dengan menyertai sukan rakyat menerusi acara bowling padang.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Ling Tian Soon; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan Rela KDN, Tuan Muhabir Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah AADK Negeri Johor, Azli Ubi dan Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh.

Accessibility Toolbar