Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat
KULIM, 10 November 2024 – Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Pembinaan Satu Blok Sekolah serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad.

Majlis itu diadakan bagi membolehkan pengoperasian semula PUSPEN Karangan yang ditutup sementara sejak 1 Disember 2022 membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta.
PUSPEN Karangan kini mempunyai fasiliti yang terbaik untuk menjalankan Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) kepada klien di bawah umur 18 tahun yang mula diperkenalkan AADK sejak 2015.
Objektif pelaksanaan PAPK adalah untuk memberi peluang kepada klien mengikuti semula sesi pembelajaran dan persekolahan di fasiliti AADK serta menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dengan kebersamaan sokongan akademik melalui konsep in situ.

Selain itu, usaha ini juga bertujuan meningkatkan dan meraikan kepelbagaian kepakaran melalui kerjasama pintar dua hala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan memperkenalkan sistem sekolah integritI di AADK melalui kepakaran guru dari KPM.
Pencapaian yang ditunjukkan oleh klien dalam SPM membolehkan mereka layak menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Klien yang terlibat dengan program PAPK bagi tahap SPM dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar sukarela terdiri daripada pensyarah politeknik dan guru sekolah menengah yang mengajar berhampiran PUSPEN ini.

Program PAPK juga telah diperluaskan dan tidak hanya tertumpu kepada persediaa peperiksaan SPM sahaja.
Usaha ini diperluas kepada pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) memandangkan terdapat klien remaja yang berdepan masalah keciciran pendidikan.
AADK juga akan mengerat kerjasama dengan KPM untuk mendapatkan penempatan dan lantikan guru secara tetap di sekolah ini.
Buat permulaan ini, pengoperasian Sekolah PUSPEN Karangan, AADK akan menguna pakai pegawai dalaman yang mempunyai kelulusan dalam bidang pendidikan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin; Ketua Pengarah AADK, Dato Ruslin Jusoh; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti Kedah, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal; dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok.








