Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat
SHAH ALAM, 21 November 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor telah melaksanakan Operasi Perdana (Op Perdana) yang melibatkan seramai 62 orang pegawai dan anggota secara berfokus di tiga buah daerah iaitu Petaling, Klang dan Sepang.

Seramai 148 orang ditahan dalam Op Perdana dan daripada jumlah tersebut, seramai 139 orang didapati positif dadah.
Objektif utama pelaksanaan Op Perdana ini adalah untuk membanteras serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah selain membersihkan ‘port’ yang telah dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan persekitaran kondusif bebas daripada dadah bagi menjamin program pencegahan dadah dalam masyarakat yang dilaksanakan AADK dan pelbagai pihak lain dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
Ini juga antara usaha yang dilakukan AADK untuk mencapai hasrat “Dadah Terkawal 2025” dengan lebih efektif.

Kesemua yang ditahan dalam Op Perdana ini akan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Turut hadir Pengarah AADK Negeri Selangor, Nazir Mohamad; Penolong Pengarah (Rawatan dan Pemulihan) AADK Negeri Selangor, Rosydan Haron; dan Ketua AADK Daerah Petaling, Mohd Lathfi Rohman.









