Kelab Kebajikan dan Sukan AADK sumbang RM27,500 bantu mangsa banjir

KARAK, 18 Disember 2024 – Sebanyak RM27,500 disumbangkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (PPAD) dalam misi bantuan Skuad Ihsan Madani KDN.

Sumbangan itu disalurkan kepada semua warga AADK yang terlibat dalam kejadian bencana alam membabitkan lima negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.

Yang Dipertua Kelab Kebajikan dan Sukan AADK, Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, bantuan berupa pek makanan sedia dimakan dan sumbangan tunai diberikan kepada seramai 200 pegawai AADK di seluruh negara yang terjejas banjir.

“Bantuan ini adalah bertujuan meringankan beban pegawai AADK dan membantu proses pemulihan bencana banjir.

“Sumbangan ini juga diberikan secara berkala kepada pegawai AADK yang memerlukan dan tidak tertumpu kepada bencana sahaja,” katanya di sini, pada Rabu.

Terdahulu Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh menyerahkan kotak bantuan tersebut kepada Pengarah AADK Negeri dan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) sebagai gimik penyerahan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok, Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Khidmat Pengurusan AADK, Syahriyah Shahadan; Pengarah PUSPEN Karak, Supindi Usop @ Yusop dan Presiden PPAD, Mohd Azlan Ahmad.

Accessibility Toolbar