Jadikan PUSPEN sebagai ibu bapa Klien – KP AADK

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)

KOTA BHARU, 20 Mac 2025 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh hari ini mengambil kesempatan hadir ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Bharu, Kelantan untuk menyantuni dan bersahur bersama warga kerja PUSPEN dan klien-klien AADK.

Majlis ini adalah satu inisiatif bagi menyantuni warga kerja AADK dan para klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di PUSPEN Kota Bharu.

Selain itu, usaha ini juga adalah untuk mewujudkan suasana positif dalam kalangan warga AADK sehingga dapat meningkatkan produktiviti, mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat berpasukan sekali gus merapatkan hubungan antara Ketua Pengarah AADK dengan pegawai, kakitangan serta klien AADK.

Dalam majlis sama, Dato’ Ruslin turut menunaikan solat fardu Subuh berjemaah dan mengambil peluang mengadakan sesi perkongsian bersama klien-klien di PUSPEN Kota Bharu.

Dato’ Ruslin berkesempatan menyampaikan pesanan supaya para klien perlu menjadikan PUSPEN ini sebagai ibu bapa mereka dalam mendorong ke arah kebaikan dan menjauhi daripada kancah penyalahgunaan dadah dan bahan.

Turut hadir Pengarah AADK Kelantan, Nik Muhammad Nik Dir; Pengarah PUSPEN Kota Bharu, Adzmiral Nawi; Pengarah PUSPEN Jeli, Aman Mustapha dan Pengarah PUSPEN Bachok, Siti Mariam Bebakar.

Accessibility Toolbar