Sistem sokongan keluarga, komuniti asas kepulihan Klien AADK

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)

KUALA NERUS, 18 April 2025 – Sistem sokongan daripada pihak berkepentingan seperti keluarga dan komuniti menjadi asas utama dalam usaha pengekalan kepulihan bagi mereka yang pernah terjebak dengan isu dadah.

Perkara itu ditekankan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah ketika menghadiri Program Ramah Mesra Klien AADK bersama YB Timbalan Menteri Dalam Negeri “Kebersamaan Pemangkin Pengekalan Kepulihan” di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Hal ini kerana, sistem sokongan antara faktor utama yang menentukan kejayaan kepulihan khususnya buat klien-klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sama ada yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) atau program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

Program ini memberikan penekanan tentang kepentingan sokongan keluarga dan komuniti dalam proses pemulihan klien AADK di samping menjadi pelantar penting bagi membina semangat daya tahan, membanteras stigma sosial serta memperkukuh hubungan antara kementerian, agensi dan klien.

Program ini juga mencerminkan komitmen AADK dan Kementerian Dalam Negeri bagi menyediakan ruang pemulihan yang komprehensif dan inklusif berteraskan nilai ihsan, kesejahteraan, dan keterangkuman seperti yang diangkat dalam agenda Malaysia MADANI.

Turut hadir Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, YB Maliaman Kassim; Mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan UniSZA, Prof. Madya Dr. Abdullah Ibrahim.

Accessibility Toolbar