AADK teruskan kerjasama strategik bersama MPB

Oleh : Amir Zahien

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh hari ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid di Balai Berita, Bangsar.

Delegasi AADK disambut Datuk Seri (Dr) Syed Hussian bersama barisan pengurusan kanan syarikat media tersebut.

Kunjungan itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik yang telah terjalin, khususnya dalam memperluas kolaborasi berkaitan pencegahan dadah menerusi platform media arus perdana.

Dato’ Ruslin menyatakan bahawa media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu penagihan dadah serta menyebarkan mesej advokasi dan kesedaran secara meluas.

Pertemuan ini turut membuka ruang kepada perancangan inisiatif bersama yang lebih mampan selari dengan aspirasi kerajaan MADANI dan pendekatan Whole of Society AADK.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai potensi kerjasama program siaran, kapsul kesedaran, serta liputan khas mengenai inisiatif pencegahan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Dato’ Ruslin diberi taklimat mengenai pengoperasian radio di konti. Gambar AADK / Amir Zahien

MPB turut menyatakan komitmen untuk menyokong usaha pencegahan dadah melalui medium TV, radio, dan digital.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Zalwani Zalkaply; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah serta Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan.

Accessibility Toolbar