KP AADK HADIR SESI LIBAT URUS KBT BERSAMA PEGAWAI DAERAH

Oleh: Fauzi Suhaimi

Kota Bharu, 16 Oktober 2025 – Mesyuarat Libat Urus Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Pegawai Daerah bagi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah telah diadakan selama tiga hari bermula Selasa.

Mesyuarat ini menghimpunkan seramai 135 peserta yang terdiri daripada pegawai daerah, wakil-wakil negeri serta barisan pelaksana program AADK di peringkat negeri dan daerah.

Tujuan utama mesyuarat ini adalah untuk menilai pelaksanaan dan keberkesanan inisiatif KBT di seluruh negara.

Libat Urus KBT_2

Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh yang mempengerusikan sesi tersebut berkata, pendekatan KBT perlu sentiasa ditambah baik agar pelaksanaan intervensi bersasar dapat mencapai impak yang optimum khususnya dalam mengurangkan kadar penagihan dadah di kawasan panas.

Mesyuarat ini juga membincangkan hala tuju baharu selepas tahun 2025 bagi memastikan kesinambungan program KBT selaras dengan dasar dan pelan strategik AADK yang sedang dirangka.

Perbincangan turut menjurus kepada cabaran sebenar yang dihadapi di peringkat pelaksana, termasuk keterlibatan komuniti, kekangan sumber dan sokongan rentas agensi.

Inisiatif KBT merupakan antara strategi utama AADK dalam menangani isu penagihan dadah secara menyeluruh melalui pendekatan berasaskan data, kerjasama komuniti dan pemantauan berterusan di peringkat akar umbi.

Libat Urus KBT_3
Penganjuran sesi libat urus mengambarkan komitmen jitu semua Pegawai Daerah Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah yang terbabit. Gambar AADK – Amir Zahien

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Zainuddin Abdullah; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Puan Siti Mariam Mursidan dan Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Pencegahan) AADK menjalankan tugas Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Mahadzir Elias.

Accessibility Toolbar