Oleh : Rashdan Zakaria
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkasakan gerak kerja di lapangan menerusi penganjuran Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) sebagai usaha proaktif memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Inisiatif yang berlangsung dalam suasana santai namun penuh pengisian ini menyaksikan penglibatan langsung Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh, yang turun padang menyantuni orang ramai di sekitar pusat membeli-belah terkemuka di ibu kota bagi menyampaikan mesej pencegahan secara bersemuka.
Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada sasaran 24 siri jelajah yang dijadualkan sepanjang tahun ini merangkumi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

Selain mempromosikan gaya hidup sihat, JABD turut memberi tumpuan kepada aspek sokongan moral menerusi Program Pasca Pemulihan (PCCP) bagi memastikan klien yang telah menamatkan rawatan terus dibantu dalam komuniti, di samping pengisian aktiviti Pesanan Antidadah (PESADA) yang digerakkan oleh ahli SKUAD Antidadah.
Melalui penglibatan aktif sukarelawan dan komuniti setempat, AADK optimis matlamat strategik Dadah Terkawal 2030 mampu direalisasikan demi menjamin persekitaran yang lebih selamat, sihat, dan sejahtera buat generasi masa hadapan.
Turut hadir Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Puan Siti Mariam Mursidan serta Pengarah AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YM Tengku Hanizar Tengku Awang.






