Oleh : Fauzi Suhaimi
Singapura, 29 Ogos 2025 – Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Isu Dadah ke-46 (46th ASOD) menyaksikan penglibatan aktif delegasi Malaysia dalam beberapa sesi utama yang berlangsung di Republik Singapura.
Agenda pada hari ini dimulakan dengan sesi pertemuan Ketua-ketua Delegasi bersama Mr. K Shanmugam, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura.03

Majlis Perasmian ASOD ke-46 turut diadakan dengan kehadiran semua delegasi daripada negara-negara ASEAN dan telah disempurnakan oleh Mr. K Shanmugam.
Dalam sesi plenari yang diadakan selepas itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh telah menyampaikan Kenyataan Ketua Delegasi.
Beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau menerusi pendekatan holistik dan perkongsian maklumat serta kepakaran dalam usaha memastikan matlamat ASEAN Bebas Dadah tercapai.
Melalui kenyataan tersebut, beliau turut memaklumkan tentang pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang berkuatkuasa pada 22 Ogos 2025 baru-baru ini.
Sementara itu, Malaysia turut membentangkan Laporan Negara oleh Ketua Penolong Pengarah (Antarabangsa) AADK, Azli Ubin yang merangkumi data dan statistik dadah semasa, inisiatif serta pendekatan dalam bidang pencegahan, rawatan dan pemulihan, serta penguatkuasaan.
Penyertaan aktif Malaysia dalam ASOD kali ini mencerminkan kesungguhan negara dalam menangani isu penyalahgunaan dadah secara bersepadu bersama negara-negara di rantau ASEAN






