AADK perkasa Akta Penagih Dadah dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983

Oleh : Rashdan Zakaria

Kajang, 2 September 2025 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menganjurkan Bengkel Libat Urus Akta Penagih Dadah dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada Selasa bertempat di Ibu Pejabat AADK.

Bengkel ini diadakan bagi menyelaras pelaksanaan akta secara menyeluruh serta menangani isu berbangkit secara bersama, di samping menjadi platform penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi pelaksana utama dalam ekosistem rawatan dan pemulihan dadah negara.

Turut serta dalam bengkel ini ialah wakil daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Pusat Racun Negara, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Penasihat Undang-undang AADK.

Peserta juga telah diberi pendedahan dan kefahaman berkaitan akta itu melalui penerangan dalam setiap kumpulan.

Inisiatif ini turut selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, ketelusan dan kerjasama rentas sektor ke arah membentuk masyarakat yang lebih selamat, berdaya tahan serta bebas daripada ancaman dadah.

Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh keberkesanan pelaksanaan akta dari aspek teknikal, perundangan dan penyelarasan antara agensi. Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Hadir sama Pengarah Bahagian Dasar Dan Hubungan Antarabangsa AADK, Zalwani Zalkaply dan Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan.

Accessibility Toolbar