Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat
BAYAN LEPAS, 8 Oktober 2024 – Tindakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menyediakan Anjung Komuniti di Kawasan Berisiko Tinggi adalah sesuatu yang harus dijadikan contoh.
Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh berkata, langkah itu sebagai alternatif untuk merealisasikan usaha inisiatif pengurangan KBT yang berfungsi sebagai hub, pusat aktiviti dan operasi harian melibatkan kesemua rakan strategik, pemimpin dan komuniti setempat di bawah Jawatankuasa Kumpulan Penggerak KBT.
“Objektif pewujudan Anjung Komuniti adalah untuk menggembling peranan dan tanggungjawab serta memperkasa jalinan kerjasama semua pihak melalui jawatankuasa berkenaan.
“Selain itu, Anjung Komuniti turut menyedia maklumat antidadah dan aktiviti pencegahan dadah serta perkhidmatan kaunter khidmat nasihat, rujukan advokasi bagi mengukuhkan rasa selamat penduduk setempat.
“Seterusnya, Anjung Komuniti turut dijadikan pusat penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti kepada klien dan ahli keluarga yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Program Jom Singgah @ Anjung Komuniti Sungai Ara di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato’ Ruslin berkata, sehingga hari ini, AADK Negeri Pulau Pinang mempunyai enam Anjung Komuniti meliputi tiga di Daerah Seberang Perai Tengah dan masing-masing satu di Daerah Seberang Perai Utara, Daerah Barat Daya dan Daerah Timur Laut.
“Di Daerah Seberang Perai Tengah diwujudkan di Anjung Komuniti Guar Perahu, Anjung Komuniti Kuala Mengkuang dan Anjung Komuniti Bukit Teh manakala Anjung Komuniti Bakau Tua di Daerah Daerah Seberang Perai Utara.
“Selain itu, di Daerah Barat Daya di Anjung Komuniti Sungai Ara dan Daerah Timur Laut di Anjung Komuniti Desa Mawar,” jelasnya.
Sebagai rekod, beliau menambah, bagi tempoh Ogos 2023 hingga Julai 2024, seramai 4,315 orang telah menerima perkhidmatan Anjung Komuniti ini meliputi 638 program anjuran AADK Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama rakan strategik dan rakan pintar AADK.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; 48 Pegawai Daerah KBT dan Pengarah AADK Negeri.






