DAC AADK Tambah Baik Peranan, Fungsi PTR dan Lokap

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

KAJANG, 16 Januari 2025 – Lembaran baharu 2025 bagi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memulakan dengan satu anjakan paradigma terbesar iaitu melakukan transformasi terhadap Pusat Tahanan Reman (PTR) atau Lokap kepada Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC) bagi proses saringan dan penilaian kepada penagih dan penyalah guna dadah serta bahan.

Transformasi ini antara misi Madani Sedang Direalisasikan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan menambah baik fungsi dan peranan fasiliti tersebut daripada menahan Orang Kena Tahan (OKT) yang disyaki menagih dan menyalah guna dadah serta bahan kepada memberi rawatan dan pemulihan yang sewajarnya.

Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh berkata, transformasi DAC mampu mempercepatkan proses OKT untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan daripada AADK tanpa bergantung kepada keputusan patologi semata-mata.

Katanya, pelaksanaan DAC ini merupakan satu langkah proaktif dalam usaha kita untuk menangani masalah penagih dan penyalah guna dadah serta bahan.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, terdapat tiga buah DAC yang telah beroperasi secara rasmi iaitu DAC Tampin, Melaka, DAC Kuala Muda, Kedah dan DAC Ibu Pejabat AADK sebagai projek rintis sebelum diperluas di seluruh negara.

“Sehingga 14 Januari 2025, seramai 732 Orang Kena Tahan (OKT) telah menjalani saringan dan penilaian di DAC ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran DAC ibu pejabat di sini, pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok.

Accessibility Toolbar