Dewan Rakyat lulus RUU APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (pindaan) 2024 dengan suara majoriti

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2024 – Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 selepas kali terakhir dipinda 20 tahun lalu.

RUU tersebut diluluskan secara majoriti, dengan hampir 40 ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan semasa dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga bermula 9 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan RUU tersebut mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan AADK tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.

YB Datuk Seri Saifuddin berkata, RUU tersebut juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalah guna dadah dan bahan.

Beliau menambah, melalui kelulusan RUU tersebut, kini dialihkan kepada nyahjenayah berbanding sebelum ini yang memberi penekanan kepada hukuman kepada pesalah dadah.

YB Datuk Seri Saifuddin turut memaklumkan, kementeriannya telah mengendalikan 13 sesi libat urus pada tahun ini, 22 libat urus (2023), 11 libat urus (2022), tujuh libat urus (2021) dan empat sesi libat urus (2020).

Pada 9 Julai lalu, RUU Rawatan dan Pemulihan (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kali kedua, ditangguhkan dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan untuk pandangan lanjut.

Penangguhan RUU tersebut dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat, selepas meneliti pandangan Ahli Parlimen, selain memastikan rang undang-undang itu menjadi akta terbaik apabila diluluskan.

Accessibility Toolbar