Jadikan AADK sebagai sahabat

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

GUA MUSANG, 15 Ogos 2024 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyeru agar semua pihak khususnya mereka yang tersalah langkah terlibat dengan aktiviti penagihan atau penyalahgunaan dadah dan bahan menjadikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai sahabat yang perlu dirujuk.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu bagi menjadikan agensi itu sebagai tempat rujukan utama jika berhadapan dengan masalah membabitkan bahan terlarang itu.

Katanya, usaha itu juga selari dengan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini menerusi perubahan terhadap dasar pengalihan pemenjaraan kepada rawatan dan pemulihan.


YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR melepaskan Merpati putih sebagai gimik solidariti kepulihan sepenjang hayat sempena Program Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Klien dan Keluarga di Pulau Setelu, Gua Musang pada Khamis.

“RUU yang diluluskan ini juga turut mengetengahkan elemen penagih bukan lagi penjenayah, sebaliknya pesakit yang perlu diberi rawatan dan pemulihan.

“Sehubungan itu, AADK adalah agensi tunggal yang menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan, maka jadikanlah AADK sebagai sahabat atau teman yang boleh menjadi rujukan dan tempat mendapatkan khidmat nasihat tentang penagihan atau penyalahgunaan dadah serta bahan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir dalam program Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama klien dan keluarga klien di Kampung Pulau Setelu, dekat sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, program itu diadakan bertujuan memberi galakan kepada klien untuk berjaya dalam semua aspek kefungsian diri, membentuk dan meningkatkan keyakinan diri klien dalam usaha pengekalan kepulihan sepanjang hayat.

YB DATUK SERI DR SHAMSUL ANUAR menyantuni klien dan keluarga klien sempena Program Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Klien dan Keluarga di Pulau Setelu, Gua Musang pada Khamis.

“Selain itu, program berkenaan dilihat dapat merapatkan hubungan antara klien dan komuniti setempat dalam menyediakan ruang kepada sistem sokongan untuk pengekalan kepulihan.

“Program itu juga mampu memberi galakan dan suntikan semangat kepada ibu bapa atau ahli keluarga dalam usaha menzahirkan sokongan kepada anak-anak atau ahli keluarga yang terlibat dalam penagihan atau penyalah guna dadah dan bahan untuk terus kekal dalam kepulihan,” ujarnya.

Dalam program itu, seramai 100 klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) AADK termasuk keluarganya yang tinggal di kawasan sekitar diraikan dalam majlis berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah.

Accessibility Toolbar