Jumlah Penagih Meningkat 31.6 Peratus, ATS Paling Ramai

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat

KAJANG 14 Januari 2025 – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh berkata, seramai 169,691 orang penagih dan penyalah guna dadah direkodkan di negara ini sehingga September tahun lalu.

Dato’ Ruslin berkata, jumlah itu meningkat 31.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Katanya, dadah sintetik jenis perangsang amfetamin (ATS) antaranya syabu, pil kuda dan ekstasi terus menjadi pilihan penagih dadah di Malaysia sekali gus membuktikan ancaman berkaitan dadah sintetik yang semakin meningkat.

“Belia yang berumur 19 hingga 39 tahun masih lagi merupakan kategori umur yang paling tinggi dikesan menyalahgunakan dadah iaitu seramai 98,977 orang iaitu mewakili 58.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Manakala jenis dadah yang paling banyak disalahgunakan adalah Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi iaitu melibatkan seramai 119,410 orang bersamaan 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Amanat Ketua Pengarah AADK dan Perhimpunan Bulanan AADK di ibu pejabat, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dato’ Ruslin menambah, jumlah itu juga diikuti dadah jenis opiat seramai 38,854 orang, ganja seramai 6,750 orang dan selebihnya dadah-dadah jenis lain dan pil psikotropik.

Tambah beliau, sehingga 10 Januari lalu, jumlah penagih yang sedang dirawat di semua fasiliti adalah seramai 58,875 orang.

Ia terdiri daripada 1,502 sukarela dan 57,373 orang mandatori.

Accessibility Toolbar