Oleh : Muhammad Amir Zahien Amran
Jengka, 20 September 2025 – Majlis Perasmian Penutup Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2025 sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah telah berlangsung di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak.
Majlis penuh bersejarah itu telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sekali gus menzahirkan sokongan berterusan institusi diraja dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan bahan di negeri ini.
Kehadiran hampir 5,000 penduduk setempat membuktikan komitmen dan keprihatinan masyarakat terhadap usaha pemulihan dan pencegahan dadah.
Objektif utama jelajah ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya penyalahgunaan dadah, menyebarluaskan maklumat perkhidmatan yang disediakan oleh AADK, serta memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam mewujudkan komuniti bebas dadah.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan seperti pameran jabatan dan agensi, jualan Produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA) dari PUSPEN, serta sesi perkongsian pengalaman oleh Ikon Antidadah, Ameng Spring, yang berjaya menarik perhatian pengunjung.
Program ini menjadi simbol penyatuan antara kerajaan, agensi, dan masyarakat dalam mendepani cabaran dadah ke arah menjadikan Pahang sebagai negeri teguh, selamat dan bebas dadah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pengarah AADK; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar Dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Makhzan Bin Mahyuddin dan Dato’ Ruslin Jusoh.
Hadir sama ialah YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan; YDH Orang Kaya Indera Perba Jelai, Dato’ Wan Jasmin Dato Wan Badiuzzaaman; Setiausaha Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.






