Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)

PADANG SERAI, 15 Februari 2025 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengadakan Program AADK Bersama Masyarakat dan Peluncuran Kalendar Hari Antidadah 2025 di Kolej Tingkatan 6 Kulim, Padang Serai, Kedah pada Sabtu.
Program AADK Bersama Masyarakat ini merupakan satu inisiatif AADK dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyantuni masyarakat setempat dalam usaha pencegahan isu dan masalah penyalahgunaan dadah atau bahan.
Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 masih mengekalkan tema sama iaitu “Lebih Baik Cegah” dengan naratif baharu iaitu “Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama” bertujuan memperhebat kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, keluarga, insitusi pendidikan, dan komuniti dalam mewujudkan satu persekitaran bebas daripada dadah.
Program itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri seterusnya membuat penyerahan Bantuan “Back To School” kepada pelajar-pelajar sekolah termasuk klien dari Sekolah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah.
Sambutan Peringatan Hari Antidadah merupakan program tahunan AADK sempena Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) yang disambut pada setiap 19 Februari manakala Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) pula disambut pada 26 Jun setiap tahun.
Sambutan ini bagi mengingatkan seluruh masyarakat Malaysia serta mengukuhkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dalam memerangi ancaman dadah yang merupakan isu kesihatan dan keselamatan negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh dan Ketua-ketua Jabatan dibawah KDN.









