MDN lancar aplikasi E-SKUAD Antidadah

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)

PULAU PINANG, 29 Jun 2024 – YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri meluncurkan Aplikasi e-SKUAD Antidadaah Pulau Pinang sebagai usaha menyediakan platform baharu untuk pendaftaran dan penyertaan aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan entiti tersebut.

Aplikasi itu diadakan bertujuan untuk memudahkan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat terkini berkaitan fungsi dan aktiviti SKUAD Antidadah Pulau Pinang secara berkala.

Aplikasi itu juga dibangunkan sebagai satu sistem bersepadu untuk merekodkan maklumat program-program terkini yang boleh disertai semua ahli SKUAD Antidadah di Pulau Pinang.

Selain itu, aplikasi e-SKUAD Antidadah ini juga dapat menilai keaktifan ahlinya, pengurusan program secara digital, pelaporan sistematik, memudahkan sistem pengurusan iklan, sistem yang boleh menjana pendapatan SKUAD Antidadah dan pendaftaran kehadiran program secara merit.

SKUAD Antidadah adalah entiti kesukarelawanan yang diterajui oleh kumpulan belia dengan peranan utamanya adalah untuk menggerakkan program dan aktiviti antidadah yang menjurus kepada gaya hidup sihat.

Penglibatan kumpulan tersebut dilihat dapat membantu kepimpinan setempat untuk merancang, menggerak dan melaksanakan program bagi memperkasa aktiviti kemasyarakatan di samping meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan sosial.

Peluncuran itu dibuat dalam Program Expresi GenTa (Generasi Kita) bersama YB Menteri Dalam Negeri : Solidariti Bebas Dadah di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Fuziah Salleh; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Tuan Khairul Anwar Bachok dan Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Elmariah Chung.

Accessibility Toolbar