Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat
TANJUNG BUNGAH, 8 Oktober 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengadakan Mesyuarat Libat Urus Ketua Pengarah bersama Pegawai Daerah Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah di Pulau Pinang, pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh itu bagi membincangkan pelaksanaan dan pencapaian inisiatif program pengurangan KBT Penagihan Dadah selain memastikan pemantauan berterusan oleh pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan agar faktor-faktor risiko yang wujud dapat ditangani segera oleh komuniti berkenaan sebelum KBT tersebut menjadi parah.
Selain itu, bantuan dan sokongan pihak agensi akan disusuli dan saling melengkapi bagi memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Teras 3: Membanteras Gejala Dadah dapat dicapai kelak.
Mesyuarat yang disertai seramai 48 Pegawai Daerah KBT, Pengarah AADK Negeri, Penolong Pengarah AADK Negeri dan Pegawai AADK Daerah turut membentangkan lima kertas makluman iaitu Kertas Makluman Dadah Terkawal 2025; Kertas Makluman Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 dan Pembentangan Kawasan Berisiko Rendah (KBR).

Majlis Apresiasi turut diadakan bagi menghargai kerjasama dan peranan Pegawai Daerah KBT dalam memastikan kawasan komuniti kekal selamat dan tidak berisiko daripada masalah penyalahgunaan dadah dan bahan.
Sementara itu, dua pembentangan lagi adalah berkaitan perkongsian pelaksanaan KBT ke status KBR yang disampaikan oleh AADK Negeri Pahang dan AADK Negeri Sarawak.
Justeru itu, peranan semua pihak penting dalam usaha memantau inisiatif ini terutamanya bagi KBT yang telah berstatus KBR agar dapat dikekalkan.
Usaha ini disusuli dengan pewujudan Jawatankuasa Komuniti Sejahtera di kawasan masing-masing sama ada peringkat negeri, daerah dan komuniti yang telah di beri tanggungjawab untuk mengambil alih (ownership) peranan dan ‘continous action’ KBT.
Penubuhan jawatankuasa berkenaan dapat memastikan kawasan komuniti kekal selamat dan tidak berisiko daripada masalah penyalahgunaan dadah dan bahan serta pelencongan sosial.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainudin Abdullah dan Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan.
