Oleh: Nor Hajar Aswat Kamis
SEBERANG PERAI TENGAH, 26 November 2024 – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dengan bangganya menerima sumbangan kerusi dan meja dengan mesej antidadah daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Penyerahan istimewa ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid, Datuk Bandar Seberang Perai kepada Tuan Mohd Zaki bin Ablah, Penolong Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, yang mewakili Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang.
Acara penuh bermakna ini berlangsung sempena Majlis Sambutan Bulan Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah MBSP Tahun 2024 bertempat di Auditorium Menara Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai pada Selasa.

Antara program yang dilaksanakan adalah memperbaharui dan menandatangani Polisi ANTIDADAH MBSP dan melaksanakan ujian saringan air kencing sebagai tanda MPSP komited dalam menjaya dan meneruskankan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD). Program ini menjadi platform penting untuk memupuk persekitaran kerja yang produktif, harmoni, dan bebas daripada pengaruh dadah.
Kerusi dan meja ini bukan sekadar perabot biasa, tetapi simbol sokongan kuat terhadap usaha menyampaikan mesej “HIDUP BEBAS DADAH”. Ia akan digunakan secara efektif dalam pelaksanaan program pencegahan dadah di komuniti dan organisasi.

AADK Pulau Pinang ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada MBSP atas komitmen tinggi dalam melaksanakan Program TEKAD, yang menjadi model terbaik kepada organisasi lain dalam menyokong usaha mencegah penyalahgunaan dadah di tempat kerja. Dedikasi ini bukan sahaja menunjukkan kepimpinan berintegriti tetapi juga menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih selamat dan sihat.
AADK Pulau Pinang juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MBSP atas sumbangan melalui program Corporate social responsibility (CSR) yang memperkukuh hubungan strategik antara agensi dalam usaha membanteras dadah.
Bersama, kita melangkah ke arah tempat kerja yang lebih bebas dadah, berintegriti, dan produktif!
Gambar: Fazilah Awang







