PENYUCIAN JIWA: RAMADAN MOMENTUM TERBAIK PULIH DARI KETAGIHAN

Oleh : Amir Zahien

Kota Bharu, 28 Februari 2026 – Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, malah ia adalah madrasah terbaik untuk menyucikan jiwa.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh, hadir menyantuni klien-klien di PUSPEN Kota Bharu, Kelantan dalam Majlis Iftar Mahabbah “Penyucian Jiwa” semalam.

Dalam suasana penuh ukhuwah, Dato’ Ruslin sempat meluangkan masa beramah mesra dengan klien-klien yang sedang menjalani rawatan.

Beliau dalam amanatnya menegaskan bahawa bulan mulia ini adalah waktu paling tepat untuk mengukuhkan azam, “gunakanlah keberkatan Ramadan ini untuk betul-betul tekad meninggalkan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang demi masa depan yang lebih bercahaya,” katanya.

Menariknya, PUSPEN Kota Bharu merupakan pusat pemulihan yang menerima klien secara sukarela. Ia menjadi tempat perlindungan dan pemulihan bagi remaja seawal usia 14 tahun yang terjebak dalam masalah penyalahgunaan bahan, memberikan mereka sinar harapan baharu dalam persekitaran yang menyokong.

Selain itu, Dato’ Ruslin bersama-sama warga PUSPEN menunaikan solat fardu dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Klien PUSPEN Kota Bharu berkongsi pengalaman dan pembelajaran yang diperolehi sepanjang mendapatkan rawatan dan pemulihan dalam institusi yang disediakan pihak AADK. Gambar AADK – Amir Zahien

Turut hadir memberi sokongan padu dalam program itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Zainudin Abdullah; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan dan Pengarah AADK Kelantan, Supindi Usop@Yusop serta barisan kepimpinan tertinggi AADK negeri.

Accessibility Toolbar