Oleh: Fauzi Suhaimi, Nabil Aziz dan Ahmad Hakim Suhaimi
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2024 – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 akan di bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum dibentangkan bagi bacaan kali pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 akan datang.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Membincangkan Cadangan Pindaan APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dengan cadangan pindaan Seksyen 8 dalam akta berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid pada Selasa.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, berkata terdapat beberapa perkara penting yang diperhalusi bersama dan dibincangkan, khususnya berkenaan pindaan Seksyen 8 APD 1983 itu.
Katanya, mesyuarat bersetuju dengan cadangan pindaan serta syor-syor yang dikemukakan terhadap Seksyen 8 APD 1983 berkenaan yang akhirnya dapat memberi keutamaan kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan.
“Seksyen ini merujuk kepada rawatan dan pemulihan kepada penagih atau penyalah guna dadah atau bahan bagi mendapatkan rawatan secara sukarela.
“Semoga usaha kedua-dua iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menguruskan isu rawatan dan pemulihan dadah serta bahan dapat beroleh manfaat sebaiknya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya di sini.
Sebelum ini Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 April lalu bersetuju bagi satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas diwujudkan membabitkan KDN dan KKMbagi membincangkan cadangan pindaan APD 1983.






