KANGAR, 13 Oktober 2024 – Dalam usaha mempelbagaikan kempen antidadah kepada kumpulan sasaran, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menganjurkan Program Aspirasi Bahasa dan Sastera menerusi beberapa pertandingan kempen antidadah melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di Negeri Perlis.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, pertandingan itu diadakan bersempena denga Peringatan Hari Antidadah yang diraikan AADK bermula Februari hingga Jun setiap tahun.

Salah sebuah persembahan bagi Pertandingan Bicara Berirama bagi Program Aspirasi Bahasa dan Sastera
Menurut beliau, antara acara yang dipertandingan adalah Pertandingan Bicara Berirama melibatkan murid sekolah rendah dan pertandingan Deklamasi Sajak serta Lagu Puisi melibatkan murid sekolah menengah.
“Seramai 227 peserta dari 17sekolah rendah dan menengah sekitar Negeri Perlis menyertai pertandingan tersebut.
“Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif penting dalam menyebarluaskan mesej antidadah serta meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah kepada kumpulan sasar.

Tuan Khairul Anwar Bachok ketika menyampaikan ucapannya di Program Aspirasi Bahasa dan Sastera
“Melalui program ini juga, kreativiti dalam penggunaan bahasa para peserta dipupuk melalui pendekatan meneguhkan kemahiran asertif dan membangunkan tingkah laku positif dalam menolak pengaruh dadah,” katanya di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Khairul Anwar menambah, isu penyalahgunaan dadah dan bahan bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal, malah memusnahkan masa depan, menghancurkan keluarga, dan melemahkan masyarakat.
“Justeru, usaha pencegahan dadah tidak boleh hanya disandarkan kepada undang-undang atau penguatkuasaan semata-mata sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk melalui sastera dan karya kreatif yang berupaya menyentuh hati, mencetuskan pemikiran, dan mengubah tingkah laku khalayak sasaran.
“Dengan menekankan unsur seni bahasa dan sastera, program ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pencinta seni dan bahasa dengan mengekspresikan pandangan mereka tentang bahaya dadah melalui pelbagai bentuk karya kreatif seperti puisi, sajak dan drama,” katanya.
Tambahnya lagi, selain aspek kesenian, program ini juga dilihat dapat mendidik peserta mengenai cara-cara berkomunikasi dengan lebih yakin dan berani untuk berkata ‘tidak’ kepada dadah.
“Ini adalah satu usaha yang bukan sahaja membangunkan kreativiti, malah memperkuatkan daya tahan remaja dalam menghadapi ancaman sosial seperti dadah.
“Sehubungan itu, AADK menyeru agar para peserta program ini pada akhirnya dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan melalui bahasa dan sastera.
“Setiap karya yang dihasilkan mampu membawa impak besar dalam menyebarkan mesej kebaikan dan kesedaran pencegahan dadah seiring dengan naratif Pencegahan Dadah Bermula di Rumah,” ujarnya.








