Tahniah kepada semua pemenang Program i-DEEN Kepulihan AADK 2024

Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)

KAJANG, 4 Julai 2024 – Program i-DEEN Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2024 melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kampung Selamat, Pulau Pinang merangkul kejuaraan keseluruhan setelah memenangi acara Syarahan Tafsir dan Lagu Ketuhanan.

Majlis penutup yang berlangsung di Dewan Sri Akasia, Ibu Pejabat AADK telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Program yang dilaksanakan secara tahunan itu bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif klien serta persaingan secara sihat dalam program kerohanian serta membentuk modal insan yang memiliki jati diri dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Empat acara telah dipertandingkan dalam program i-DEEN Kepulihan AADK 2024 iaitu Tilawah al-Quran, Syarahan Tafsir, Azan dan Lagu Ketuhanan melibatkan penyertaan seramai 133 klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan institusi (RPDI) dari seluruh negara.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, YBhg Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan dan Operasi) PDRM, DCP Datuk Zainudin Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok.

Accessibility Toolbar