TPM – PUSPEN bukan tempat hukuman, sebaliknya rumah harapan buat klien

Oleh : Amir Zahien

Dengkil, 12 Ogos 2025 – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil, Selangor.

Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan program rawatan dan pemulihan yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain mengenal pasti keperluan dan sokongan tambahan kepada fasiliti yang digunakan oleh klien dalam proses pemulihan mereka.

Sempena lawatan ini, YAB Timbalan Perdana Menteri turut merasmikan pelancaran Transform Gym, iaitu fasiliti kecergasan yang dibangunkan hasil sumbangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Inisiatif ini selaras dengan usaha memperkasa elemen kecergasan fizikal dalam proses pemulihan dadah.

Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menyifatkan PUSPEN sebagai Rumah Harapan bagi mereka yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan sekali gus menegaskan bahawa pemulihan bukan hanya soal perubatan, tetapi membabitkan sokongan menyeluruh termasuk kesihatan mental, fizikal, dan sokongan komuniti.

TPM2
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meluangkan masa meninjau fasliti dan perkhidmatan yang disediakan di PUSPEN Dengkil. Gambar AADK / Rashdan Zakaria

Kemudahan yang disediakan menerusi Transform Gym diharap dapat memberi motivasi tambahan kepada klien dalam memperkukuh kesihatan dan keyakinan diri sepanjang tempoh pemulihan, seiring dengan prinsip MADANI: Prihatin, Inklusif, dan Berdaya Saing.

Lawatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap individu yang terkesan dengan penagihan dadah diberi peluang kedua untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil; serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok.

Accessibility Toolbar