Oleh: Unit Media dan Komunikasi Korporat (UMKK)
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2024 – Sidang Dewan Negara hari ini meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas.
RUU tersebut diluluskan secara majoriti selepas 29 Ahli Dewan Negara terlibat dalam sesi perbahasan semasa dibentangkan untuk bacaan kedua.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika sesi bacaan menjelaskan RUU yang mengandungi 29 fasal itu adalah suatu undang-undang yang membawa semangat baharu dengan melaksanakan dasar pengalihan daripada melihat penagih sebagai penjenayah kepada dasar penagih sebagai pesakit yang perlu dirawat.
Menerusi pindaan ini, semua penagih atau penyalah guna dadah dan bahan akan dialur kepada dua program rawatan dan pemulihan iaitu rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI) atau rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK).
Selain itu, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar berkata, RUU tersebut juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalah guna dadah dan bahan.
Semoga pindaan ini dapat menyelamatkan golongan berisiko khususnya penyalah guna dadah dan bahan sebelum mereka terjerumus kepada penagihan dadah atau bahan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok dan Pengarah-Pengarah Bahagian AADK.






